iDAN

21 Mac 2008

Bangun tidur cekik isteri (Ceritera)

Oleh Mohd Amin Jalil
aminjalil@hmetro.com.my


SEREMBAN: Hanya kerana mengejutkan suami daripada tidur sebelum pergi kerja, seorang wanita berdepan detik menakutkan apabila lehernya dicekik lelaki itu yang tiba-tiba naik angin.

Suaminya yang berusia 24 tahun itu turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap isterinya yang berumur 25 tahun termasuk mengatakan dia kesal ‘mengutip’ wanita itu.

Difahamkan, selepas kejadian itu, wanita berkenaan meninggalkan kediaman dan membuat laporan polis.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi Rabu lalu, ketika wanita berkenaan sudah bersiap untuk keluar bekerja di sebuah kilang di Senawang, dekat sini.




Katanya, wanita berkenaan mengejutkan suaminya itu bertujuan supaya dia tidak terlewat pergi kerja, sebaliknya tindakannya itu menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan.

“Berdasarkan laporan yang dibuat wanita terbabit, suaminya mencekik lehernya dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum wanita itu meninggalkan rumah berkenaan.

“Pada keesokan harinya, kira-kira jam 7 malam, sekali lagi berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit dan lelaki berkenaan sekali lagi cuba mencekik leher isterinya itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, wanita berkenaan yang tidak tahan dengan tindakan kasar suami yang memukul tangan dan badannya, cuba mengugut untuk membunuh diri dengan menggunakan sebilah pisau, namun kakak wanita terbabit yang turut berada di situ campur tangan.

Jurucakap polis itu berkata, pihaknya sudah menyiasat kejadian berkenaan dan mendapatkan keterangan daripada kedua-dua pihak untuk tindakan selanjutnya.

“Kejadian itu membabitkan pasangan suami isteri yang tidak ada persefahaman dan bertindak terhadap sesuatu mengikut emosi tanpa memikirkan kesan antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dari Taman Seremban Jaya, Senawang, gagal mengawal perasaan sabar apabila bertindak memukul badan jiran itu dengan topi keledar hanya disebabkan anjing peliharaannya itu menyalak, kelmarin.

Menurut jurucakap itu, berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam apabila secara tiba-tiba seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang juga jiran terdekat bertanya mengenai bunyi bising.

"Jiran itu menyatakan bunyi bising berkenaan berpunca daripada anjing yang menyalak tetapi dia tidak terima alasan itu lalu mengambil topi keledar menghentak di belakang jirannya itu," katanya.

Jurucakap polis berkata, kes itu kini dalam siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Harian Metro

5 hari iv (Singgahsana)




Ingatan terhadap kampung halaman memang amat manis & segar. Payah bagi siapa jua melupakan kampung. Pulang ke kampung halaman ibarat bangau nan terbang jauh, lambat laun akan singgah di belakang kerbau jua. Aku merindui kampung halaman, bagaikan lambaian teratai di kampung halaman tidak mahu berhenti. Anggerik liar di celahan rimbun bakung menjadilkan rona memori tambah permai & indah. Entah bila aku dapat pulang ke kampungku lagi.

Doktor Imah Makin Risau

"Kolestrol ini semakin tinggi. 5.25 mmol/L" Dr Imah membaca bacaan yang tertera di skrin komputernya. Aku diam sahaja. Aku tahu aku ini malas berpantang. Makan sahaja mengikut seleraku/

"Gula pula bertambah ni... 7.9 mmol/L"

"Saya suka minum air gas doktor"

"Isteri tak ada di rumah kan..?, habis tu selalu makan di luar" Masih ingat rupanya Dr Imah tentang kes Mila di Pulau Carey.

"Baru sahaja duduk bersama, bulan Januari lalu..!"

"Habis tu isteri masak di rumah!, jarang makan di luar"

"Haa aah!" Malas nak buka cerita sebenar.

"Kena hentikan dua minggu ini minum air gas, minum air kosong sahaja!, kolestrol dah tinggi takutnya kena kencing manis!"

"Arwah ayah saya meninggal sebab kencing manis, Makcik saya pun sama!" Aku tak cerita tentang Yot: Abg kandungku yang sulung sekarang mengidap kencing manis. Melarat & kini sakit buah pinggang.

"Ooo! kalau ayah pun ada mengidap kencing manis... emmm! " Aku memang selalu dengar jika keluarga mengidap kencing manis@diabetes memang risiko mudah mendapat masalah faktor keturunan itu ada. Tentunya itu yang mahu dicakapkan oleh Dr Imah. Aku dengar tak dengar sahaja.

"Kena tambah dos ubat kolestrol ini, tiap malam makan dua biji" Aku mencongak Rabu aku dapat 30 biji, 2 April hari Rabu ubat kolestro tinggal lagi dua biji.Seeloknya hari Rabu malam Khamis puasa, ubat telah habis semua.

"Saya teringat kawan saya yang kena sakit kencing manis, kakinya terpijak stapler sahaja sampai melarat kena potong jarinya..."

"Siapa tu.. siapa namanya?"

"Rohana!.." Doktor Imah mungkin tidak mengenali; bukan pesakitnya. Jika tak silap aku Ana mendapat rawatan di Hospital Putrajaya. Doktor bercadang mahu memotong sahaja separas buku lali; tetapi suaminya Tajul tidak mengizinkan. Ana mendapatkan rawatan lanjut di klinik swasta di Kajang Utama. Klinik orang kita. Hari-hari doktor lelaki merawat rebakan sakit Ana; syukur Anak hanya hilang jari hantu di kaki kanannya.

"Dua minggu lagi datang, kita buat ujian kencing manis, jika gula masih tidak turun terpaksalah makan ubat kencing manis" Kenyataan yang paling malas aku terima.

7.9 mmol/L kira sudah peringkat berjaga-jaga. Bagi kandungan gula seharusnya 4.2 ke 6.4 7.9 mmol/L. Bermakna aku telah lebih dari satu 7.9 mmol/L. Lebih tinggi nampaknya gula berbanding kolestrol. 5.25 mmol/L, normal seharusnya 0 ke 5.17 mmol/L.

Usia semakin senja. Selera makanku masih tinggi. Bagaimana mahu menghalang keinginan tekak ini. Setakad mengawal pengambilan minuman gas memang boleh diatur. Tapi Bagaimana pula kemahuan perut yang asyik lapar sahaja. Apatah lagi jika ada jamuan; atau lebihan jamuan yang memang baunya terhidu dari bengkelku. Aku kini menghuni bengkel di tingkat 3; tingkat 2 sememangnya sering ada jamuan sebab di situ letaknya bilik seminar. Bau lazat makanan yang disajikan memang payah untuk aku menolaknya. Makan saja. Terkadang sampai payah bernafas.

Empat belas abad lalu Nabi Muhammad SAW mengajarkan “Makanlah hanya ketika lapar dan berhentilah makan sebelum kenyang". Semua tahu tentang petua panjang umur dengan mengamalkan nasihat Rasulullah tersebut tetapi kita amat payah mematuhinya. Jika makan duit sendiri di kedai tentunya ada batasnya. Apa kata makan di Hotel secara Buffet. Makan lagi dikatakan makan, mahu lebih kasar ayatnya makan sampai disebut muntahkan darah. Lol!.


Posted on 3.20.2008 at 4:13 PM

5 Hari iii (Singgahsana)

Ahad 16hb: Seharusnya aku balik ke kampungku. Desa Tualang Kota Bharu Perak (Aku suka panggil Desa Tualang; masa tahun 70an memang aku berkarya menggunakan nama itu; nama sebenar kampungku ialah Kampung Changkat Tualang).

Ada jemputan kenduri kahwin anaknya Wan Midah. Wan Midah adalah pangkat sepupu dengan arwah Opah Bi. Aku tak pasti sangat talian persaudaraan mereka tetapi semasa Opah Bi masih ada; Wan Midah adalah sahabat baik arwah Opah Bi. Mereka memang tidak boleh berpisah biar di mana & apa jua keadaan. Rahman anak Wan Midah yang banyak berjasa menjaga Opah Bi. Maka itu aku merasakan amat afdal Rahman yang menduduki rumah pusaka Opah Bi. Sepatutnya Yoep Zaini (Kini bergelar Dato' Zaini) anak tunggal Opah Bi yang mewarisi tanah pusaka ibunya tetapi nampaknya memang mereka tidak berminat.

Yoep Zaini telah menjadi orang senang. Konon membuat rumah di Muar sampai mencecah sejuta RM. Anaknya yang sulung si AC Mizal pun nampaknya makin mencurah rezekinya. Bebaru ini aku melihat gambar Yoep Zaini di akhbar bersama cucunya; cahayamata kelima AC Mizal tentunya. Aku tak pasti apa jadi dengan dua orang adik si AC. Zareen & Boboi. AC memang kawin lari; tapi setahu aku dua adiknya buat kenduri kahwin begitu meriah. Aku memang terkilan lantaran keluarga kami tidak pernah diundang. Padahal semasa Boboi kecil memang aku kerap mendukungnya. Boboi, Zareen & AC sememangnya macam anak saudara kami. Biarpun berpangkat tiri.

Selalu aku terkenang bagaimana arwah Apak juga terkilan, dia yang membesarkan Yoep Zaini tetapi dalam beberapa keadaan Yoep Zaini sering kesibukan. Bagaikan ada perbalahan antara mereka. Maka itu menurut arwah Opah Bi, arwah apak yang nazak di rumah Yoep Zaini semasa dia tinggal KL ini; Arwah Apak meninggal di Hospital Besar KL; & kononnya Roh arwah ayah... mungkin juga Hantu Raya, masih merayau di rumah Yoep Zaini di Taman Koperasi Jalan Cheras. Puas Yoep Zaini menghalaunya namun masih ujud, hinggakan Yoep Zaini masuk hospital lantaran tak cukup tidur. Bila malam dia nampak arwah Apak duduk di tangga, ada di bilik air. Nampak di mana-mana. Panggil dukun handal pun masih tak berganjak jelmaan arwah Apak. Akhirnya Yoep Zaini pindah dari rumahnya itu; rumah itu terpaksa disewa.



Masih terbayang semasa Boboi kecil aku kerap menziarahi keluarga Yoep Zaini yang semasa itu dia bertugas sebagai ASP di Johor Bahru. Tak sangka bila keadaan berubah. Hubungan kami memang bagaikan terputus. Paling akhir aku tertembung dengan Yoep Zaini penghujung tahun lalu. Di majlis kenduri kahwin Siti Zaharah pangkat anak saudara arwah Opah Bi. Mila bersalaman dengan keluarganya. Aku tak tahu pun dia ada di majlis tersebut. Sudah dalam kereta baru Mila kata dia jumpa Yoep Zaini tadi. Aku leka melayan kerenah anak-anak; memang tak nampak pun di mana Yoep Zaini berada. Samalah dengan AC paling akhir berjumpa dengan dia semasa arwah Apak meninggal. Sudah hampir sepuluh tahun tidak berjumpa. Tentunya dia sendiri tak kenal aku ini ayah saudaranya. Beginilah kita mencorakkan talian persaudaraan dalam dunia yang makin moden & sibuk belaka ini.

Berbalik kes tanah pusaka tadi; apabila arwah Opah Bi tiada memang semua tanah pusaka arwah Apak tidak terurus. Tak kurang belasan ekar. Aku mungkin pernah bercerita di jurnal ini masalah tanah pusaka ini. Khabar terbaru; semua gerannya terjumpa dalam longgokan plastik sampah yang masih terikat di ruang kedai arwah Apak. Kedai pusaka ini bangkrup ketika diuruskan oleh arwah Abg Din. Aku begitu yakin semua geran tersimpan di peti besi rona hijau; ada lambang gajah lagi; di rumah arwah Opah Bi. Aku bergantung harapan agar Yoep Zaini masih menyimpan geran tersebut. Meleset rupannya andaianku; Tanah tapak rumah arwah Opah Bi memang menjadi rebutan. Sementelah nama tapak rumah arwah Opah Bi masih nama arwah emak. Semuanya menjadi makin rumit. Hingga kini tanah pusaka peninggalan arwah Apak masih tidak diambil kuasa.

Huh! terkenang kampung halaman memang kerinduan menggamit hati. Sayang amat tanah pusaka yang tak terurus. Janjinya mahu segera diuruskan dengan Abg Ali, suami Kak Nomie. Hingga kini masih menunggu bila Abg Ali punyai waktu agar segera menjenguk Pejabat Daerah di Batu Gajah. Tiada orang dalam di sana memang payah untuk berurus. Yang penting aku ingin sangat melunaskan cukai tanahnya yang tertunggak. pasti sudah banyak jumlahnya.

: Dah lewat kena ke PK UPM semalam bising doktor di sana mencari aku; kes ambil darah masalah kesihatan aku ini masih tak selesai. Kririkal tentunya.


Posted on 16.3.2008 at 8:58 AM

5 Hari ii (Singgahsana)




"Baru tenguk wayang nak tenguk wayang lagi?" Mila mula meninggi suara. Aku terdiam tak berani mahu bersuara. Harapan Anif yang memang teringin amat nak tenguk The Spiderwick Chronicles terputus.

Cadangan awal memang aku nak bawa Afiz menonton, sebab sebelum ini aku tak bawa dia menonton 10,000 BC. Dia pun berminat nak nonton The Spiderwick Chronicles. Bila tanya adik-adiknya yang lain semua nak ikut sama. Bilamana Mila dah brsuara tak siapa berani pergi. Aku pun hilang minat untuk menonton. Jadi hari Sabtu aku melayani selera Mila & Afiz untuk membeli belah. Afiz yang kekurangan kemeja rasanya telah berminggu minggu mencari kemeja yang berkenan di hatinya. Selera berpakaian anak muda zaman ini memang tinggi. Afiz meminati potongan "Modern Fit". Rata-rata potongan ini kekurangan rona kosong. Banyak amay potongan ini bercorak belang yang agak kontras ronanya. Mana sesuai dengan Afiz yang terpaksa memakai tali leher ke kelas.

Bila aku memasuki kedai jenama Orlando umpamanya. Harga sepasang kemeja yang Afiz berkenan sekitar RM180.00. Emmm! MIla pun tak tergamak nak membli pakaian semahal ini. Lagipun kegunaan harian untuk ke kelas. Poli memang tak membenarkan pelajarnya memakai kemeja T. Jauh sekali boleh memakai jeans. Afiz pula memang sejak lama itulah pakaiannya. Dia tak mahu memakai kemeja gedoboh. Macam emaknya Mila memang cerewek dalam berpakaian. Nak pujuk dia pakai pakaian jenis berjubah pun rasanya bertahun-tahun baru berjaya. Sekarang dia nampaknya telah dapat menerima pakaian jubah.

Parkson.. South City Plaza Seri Kembangan, pakaian yang diminati Afiz PIERRE CARDIN. Selalunya Jusco sahaja yang ada terjual PIERRE CARDIN.
Bila aku lari ke Cheras Selatan punya ramai orang, nak parkir (kelakar bahasa ini) punyalah payah nak cari tempat kosong. Dari mana datangnya manusia seramai ini amat menyesakkan. Serata Jusco dicari satu pun yang tak sesuai kemeja yang Afiz inginkan. Memang payah mahu memenuhi selera fesyen anak muda zaman kini. Ada jenama lain tapi rata-rata kemeja yang cantik sekitar RM100.00. Mahalnya harga pakaian yang berjenama zaman ini. Maka itu aku terkadang suka mencari pakaianku di kedai pakaian lusuh (Bundle) sahaja; punyalah payah nak cari saiz pinggangku 38. RM10.00 ke RM20.00 sudah dapat yang cantik-cantik. Masalahnya satu; kot pakaian orang sudah meninggal dunia. Huh! pasti mengingau malam memakainya.


Pencarian kemeja Afiz gagal; sekitar jam 11:00 malam barulah sampai di Jenaris. Aziq, Anif & Azim di rumah pasti dah lapar.

"Kita beli makan di Restoran Sea Food Erawan sajalah ibu.." Aku bersuara.


"Tak adakah kedai lain, dah keluar jauh-jauh asyik ingat kedai itu juga" "Restoran lain itu makanannya bersukatlah ibu, kalau boleh ayam itu tak boleh potong lebih dari seinci setengah, harganya mahal pulak tu.."

"Lagi pun dengar khabar Restoran Erawan tu sudah bertukar orang..!"

Aku memesan 3 Nasi Goreng Ayam & 2 Nasi Goreng Paprik. Mila biasa begitu, biar pun kami berenam jika beli nasi di luar, pastinya lima bungkus sahaja. Azim & Anif memang selalu berlebih. Aku mencongak pasti dua RM20. Selalunya Nasi Goreng Paprik pasti RM4.50 kalau dua sudah RM9.00. Aku tak pasti Nasi Goreng Ayam berapa harganya katakan RM4:00 kali dengan tiga RM12.00. Tapi bila aku kasi RM20.00 masih berbaki RM1.50. Tentunya Nasi Goreng Ayam RM3.50. Tapi memang berbaloi. Banyak makanannya tidaklah bersukat terutama Nasi Goreng Paprik. Memang kenyang. Begitulah makan di sekitar Kajang. Jika keluarga besar memang kena masak sendiri jika RM20.00 tentunya boleh makan dua kali, kalau pun tidak boleh bertambah dua pinggan makannya.
Posted on 15.3.2008 at 10:35 AM