iDAN

10 Jun 2008

Akil nafi kahwin dengan Waheeda (Hiburan)

Oleh Norliza Mohamad Zakaria
liza.zakaria@utusan.com.my



AKHIL Hayy bersama tiga anugerah platium termasuk dua platinum berkembar yang diterimanya baru-baru ini.

KALAU sudah namanya orang popular, apa saja yang dilakukan mereka, sudah tentu akan diperhatikan.

Lalu, apabila artis-artis popular dikaitkan dalam episod percintaan, mereka sudah tentu akan menjadi tumpuan media.

Hal yang sama turut dilalui oleh bekas penyanyi rock yang kini beralih kepada lapangan nyanyian lagu-lagu dakwah dan penceramah terkenal, Akil Hayy.

Beberapa bulan lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan laporan kononnya Akil memilih penyanyi wanita terkenal, Waheeda sebagai isteri keduanya.

Menguatkan lagi dakwaan itu, apabila Waheeda membuat keputusan untuk ‘bersara’ dari dunia hiburan.

Namun begitu, tiada sebarang jawapan yang pasti keluar dari mulut kedua-dua bintang popular itu.

Justeru, pada majlis pelancaran album terbarunya, Nasyid Legenda 2, Akil membuka mulut membicarakan cerita ‘perkahwinan keduanya’ kepada media secara terbuka.

Dalam nada tenang, ustaz rock itu menafikan khabar angin yang tersebar luas sebelum ini.

“Tidak. Saya tidak pernah bernikah dengannya (Waheeda). Saya rasa benda ini (gosip) semua artis akan lalui, apabila kita menempa nama pasti banyak mata yang memandang.

“Dia (Waheeda) sebenarnya sedang dalam proses berjihad untuk kembali ke jalan yang benar. Sebab itulah saya rasa prihatin tetapi mungkin orang ramai salah faham,” jelas bapa kepada lima orang anak itu tanpa berselindung.

Tidak mahu memanjangkan lagi isu yang disifatkannya sebagai khabar angin semata-mata, kata Akhil, hubungannya dengan Waheeda saling tidak ubah seperti rakan artis semata-mata.

Menganggap segala yang melanda dirinya kini sebagai tsunami dan ujian dalam hidup, Akhil pada masa yang sama mengharapkan pengertian dan kesabaran daripada isterinya yang tercinta, Maizawati Zainal.

“Dalam perkara macam ini, isteri saya perlu memahami situasi saya sebagai artis. Seringkali saya ingatkan padanya agar dia perlu sentiasa ada perasaan menyayangi bukan memiliki.

“Saya musafir ke hulu dan ke hilir, bila dia (isteri) ada perasaan sayang dan percaya pada saya barulah dunia akan rasa aman,” ujar Aki lagi.

Sementara itu, beralih perbualan kepada kerjaya seninya pula, Akil memberitahu, untuk album terbarunya ini, dia memilih untuk merakamkan lagu-lagu saduran dalam Nasyid Legenda 2.

Akil bukanlah artis pertama yang memberi nafas baru pada lagu-lagu popular lama.

Usaha merakamkan lagu-lagu sedemikian juga kata Akil, sebetulnya memberi manfaat dan keuntungan yang bukan sedikit.

Menurutnya, tidak kira apa juga genre muzik yang dimainkan, selagi ada peminatnya, selagi itulah lagu tersebut mampu bertahan walaupun berpuluh tahun lamanya.

“Memang menguntungkan. Tetapi, ia bukan satu perkara yang senang kerana setiap pembikinan album sebegini tidak boleh main buat sahaja.

“Takut nanti penyanyi asal akan kata merosakkan lagu-lagu mereka,” kata Akhil Hayy yang gemar membahasakan dirinya ana.

Agak beruntung, kata Akhil Hayy, kali ini dia menerima sentuhan daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki untuk album ketiganya itu.

“Fauzi memang ada alirannya yang tersendiri dalam menampakkan keaslian nasyid dan bila orang dengar, orang akan kata ya, inilah nasyid.

“Bagi saya, konsep yang saya tampilkan sangat berbeza kerana saya rakamkan semula lagu nasyid berkumpulan wanita secara solo dengan cara tersendiri,” katanya.

Album Nasyid Legenda 2 memuatkan lagu-lagu seperti Berita Gembira, Adam Dan Hawa, Dikit Sedikit dan Warna Alam yang merupakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher.

Tidak ketinggalan, ia turut memuatkan lagu-lagu nyanyian kumpulan El-Suraya iaitu Anak Derhaka, Pohon Dan Pinta, Hawa Nafsu dan Hidup Yang Hampa.

Menurut Akhil Hayy, album tersebut merupakan kesinambungan album pertamanya Nasyid Legenda yang berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit.

Utusan Malaysia