iDAN

16 Oktober 2008

MMms16 Terasing (Singgahsana)

Aku bangun & memohon diri dari isteri Hamzah, pergi ke kaunter hadapan & bertanya dengan petugas di situ di mana Surau.

" Tak jauh dari kantin, Encik kena keluar wad ini ikut arah kiri menuju ke lobi utama "

Aku menekan suis pintu untuk keluar. Aku disapa angin kering & cuaca panas di luar. Rasa bebas dapat melihat persekitaran hijau. Sakit dalam diri hinggap di celahan dedaun megar. Aku merasakan diri bagaikan melayang. Pening, rasa kabur pandangan pun lesu badan amat malas mengulus diri. Apatah lagi dengan perut yang kosong. Hampir seratus meter aku melangkah sendirian untuk sampai ke lobi utama.

Memang mewah & cantik ruang lobi utama Hospital Serdang. Apatah lagi ianya gah di atas bukit. Kalau pun tidak dapat menyaingi Hospital Putrajaya tapi jauh lebih mewah & medan berbanding Hospital Besar Kuala Lumpur. Bangunan baru mestilah mementingkan keselesaan. Persekitaran juga rekabentuk. Jam waktu itu telah melebihi pukul 3:00 petang. Sebelah kiri ada kedai runcit, bersebelahan dengan kedai menjual makanan pun terdapat telefon awam. Sebelah kanan, kantin yang agak besar tapi tak ramai pun pengunjung.

Aku ke kedai runcit untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbitku. Habis. Mungkin esok baru ada kata jurujualnya. Aku membeli pen untuk aku menconteng buku catatan & memecah duit untuk mengguna telefon awam. Aku keluar & berbaris di telefon awam. Huh! dari ada lebih kurang 5 telefon, cuma satu yang boleh digunapakai. Ada dua orang sahaja di hadapanku. Seorang bagaikan pekerja hospital & seorang lagi kakak yang agak montel. Tak ubah berbadan macam Makcik Sala, emak saudaraku di Desa Tualang. Kak Sala mungkin itu namanya sesuainya.

Aku sebenarnya terkenangkan Mila, apakah dia telah ada di rumah. Aku cuba dail Jenaris. Tiada jawapan. Cuba dail telefon bimbit Mila pun tidak dapat talian. Aku mencongak-congak waktu. Tentunya masih dalam perjalanan mengambil Afiz dari kursus KFCnya di Kajang. 5:00 petang Afiz balik ... lambat lagi, seharusnya Mila singgah sekejap untuk menjenguk keadaanku. Cuma impian & harapanku.

Aku terkenang mahu berbuka!, puasa tak rasmi; aku terus menuju ke kantin. Tak banyak pilihan menu di kantinnya. Aku lapar nasi sebenarnya. Bila aku buka termos nasi kosong. Menu selebihnya memang tak menarik seleraku.

" Adik!.. nasi dah habis ni?.." Aku memanggil mamat yang berniaga, mirip cina macam muka orang Sabah pun ada.

" Maaf abang!, nasi baru nak masak! "

Isk! ini mesti berniaga tak mahu kaya. Aku terkenang suasana Hospital Tengku Ampuan Rahimah (TAR) Klang . Kantinnya meriah. Bukan setakad kantin, kedai runcitnya sarat dengan barang makanan siap ada Kuih Pau panas lagi. Harga memanglah mahal berbanding di luar tapi sarat dengan pengunjung. Banyak pilihan makanan. Menyelerakan.

Terputus seleraku. Apatah lagi melihat cuma ada ayam goreng nampak macam hangus & kecut sahaja, sayurpun saki baki adanya. Jauh sekali ada sambal, ulam-ulaman dan penganan yang menyelerakan. Aku mengambil keputusan mencari roti di sebelah kedai runcit sahaja.

Aku mencari-cari roti kelapa kot ada, mengidam nak makan roti berinti kelapa. Huh tiada cuma ada roti coklat. Belasah sahajalah asalkan perut berisi. Aku membeli air mineral & minuman isotonik100 Plus.

Aku duduk di bangku lobi, memerhati gelagat pengunjung sambil makan roti. Aku nampak arah tanda ke Surau. Kena masuk melalui pintu yang dikawal Pengawal Keselamatan. Pengawal muda seorang perempuan langsing tinggi lampai. Macam wajah orang seberang. Setelah makan beberapa buku roti & meneguk air isotonik100 Plus. Rasa selesa. Terasa terisi perut aku yang pedih sejak tadi. Teringat si Surya. Emmm mana boleh dalam kawasan hospital nak berkepit dengan si Surya. Tak jadi aku keluarkan dari beg sendangku. Aku terbayang Lim Apek 2025 yang tentunya gelojoh bersama sang Dunhillnya di dalam tandas. Memang tak cantik nampaknya!. Melanggar peraturan pula tu!

" Encik nak ke mana ini?.." Aku ditahan olah Pengawal Keselamatan perempuan langsing ketika baru mahu melintasi daun pintu ke ruang legar menuju surau.

" Nak ke Surau kejap! " Sambil aku menunjukkan fail plastikku yang ada tiket giliran pun kad hospital. Dia tak banyak soal.

Aku macam orang hilang haluan. Tak nampak tanda surau & bertanya dengan Neng pencuci. Memang agak tersorok suraunya di lorong sebelah kanan. Sebaik selesai syolat aku terfikir mencari jalan pintas mengikut dalam bangunan untuk pergi ke wad kecemasan. Memang ada arah tanda ke wad kecemasan. Tapi ruang legar menuju ke wad itu agak sunyi. Nampak hanya pekerja hospital. Jururawat & doktor sahaja. Tak nampak orang awam melalui lorong ini. Sikap degil aku terus memberanikan diri, menuju ke arah wad kecemasan.

Lengang. Cuma banyak bilik rawatan yang kosong sepanjang menuju wad kecemasan. Tiada siapa pedulikan langkahanku. Baik doktor mahupun jururawat. Malahan pengawal keselamatan yang aku temui juga buat sardin sahaja. Aku tiba ke pintu wad kecemasan. Cuba menolak; Berkunci. Jadi aku terpaksa patah balik, aku pasti jika diketuk daun pintunya pasti ada yang akan membuka tapi apa pula persoalannya nanti. Memang bukan boleh bebas mengikut lorong yang aku lalui. Tentunya untuk lorong kecemasan sahaja.

Patah balik!.

Sepanjang aku kembali ke ruang lobi utama. Aku memang terasa amat seram sayogia aku bayangkan jika dirawat dalam bilik yang lengang lagi sepi di lorong sunyi ini. Tentunya bilik-bilik rawatan itu untuk mereka yang kritikal. Sakit tenat lagi kronik. Sudah pastinya Malaikat Maut mengintai selalu (MMms) di ruang bilik rawatan itu. Lagipun entah berapa ramaikah mereka yang memutuskan nafas terakhir di kamar sepi itu. Harap-harap aku tidak dikurung di kamar sepi lagi puaka itu. Apatah lagi aku seorang diri. Tak seorang keluarga pun yang risaukan kesihatanku. Hanya doktor yang memutuskan sakitku kritikal. Kroniknya tanggunglah sendiri. Desus hatiku.


Kroniknya tanggunglah sendiri. Desus hatiku.

Setibanya aku di ruang menunggu wad kecemasan. Nombor giliran masih tidak berganjak. 1015 bila nak dipanggil. Aku lihat isteri Hamzah sudah ada gengnya duduk sebaris di bangku lain. Agak terkebelakang mengadap pejabat farmasi. Bangku menunggu mengadap bilik doktor penuh semua. Kak Sala yang aku temui di kantan tadi pun sudah bersama dengan saudara mara dia, agak ramai. Pemuda gempal berkaca mata masih berdiri wajahnya masih begitu. Nampak wajahnya menahan sakit.

Aku nampak ada ruang untuk duduk antara pasangan suami isterinya yang anak lelaki terbaring dengan pasangan yang mendapat anak sulung. Aku duduk di sebelahan suaminya yang anaknya sakit, usia suami ini hampir sebaya denganku. Agak serius orangnya payah amat hendak senyum. Tentunya risaukan cahayamatanya. Isterinya nampak ramah & bagaikan mahu berbual.

" Sakit apa anaknya ni.. bang " Sekadar memanggil abang, supaya terasa aku lebih muda.

" Kata Pegawai Perubatan tadi, besar kemungkinan denggi, darahnya anak saya sudah diambil tadi... keputusan tak tahu lagi! " Isterinya terus memicit-micit kepala anaknya. Nampak genangan airamata di kelopak mata anaknya. Sakit sangat. Demannya terlalu kuat.

" Apalah kerja doktornya.. sejak pagi tadi masih tak dipanggilnya! " Aku nampak keresahan seorang ayah.

" Entahlah abang saya pun tak larat lagi rasanya menunggu!.."

" Inilah masalahnya, kalau pergi ke klinik memang mereka suruh ke hospital... sudah sampai ke hospital begini pula keadaannya, jam 9:00 pagi tadi kami sudah di sini " Aku tak berani nak berkata. Bagiku memang denggi kita tak boleh biarkan lama. Aku sekadar berbual seadanya lagipun aku dapat rasakan resah seorang ayah. Dia macam memaksa diri berbual denganku.

Berapa ramai pesakit yang menderita di depan mataku tanpa layanan doktor berjam-jam. Sehari suntuk. Betulkah ini wad kecemasan?. Tenguk wajah-wajah warga pendatang itu pun aku sudah rasa amat simpati, apatah lagi anak sekecil ini mengerang kesakitan!.

Aku terkenang berita di akhbar yang sering aku baca. Keluarga mangsa yang diabaikan pihak hospital kerajaan ada yang sampai membawa kes ke mahkamah tidak dapat menerima pemergiaan orang yang disayangi lantaran terlampau lewat mendapat rawatan. Aku dalam kelompok yang sama. Dalam kelubung kesakitan. Nak buat macam mana?. Kemungkinan itu banyak, kekurangan doktor pun mungkin. Ramai sangat pesakit pun mungkin. Kekurangan kelengkapan alat perubatan pun mungkin... menjadi kelewatan yang amat mencemaskan ini.

Sakitku pula bagaimana!?. Emmm boleh bertahan lagi kan iDAN!. Aku terus meneguk air isotonik100 Plus. Aku teringat telefon bimbitku yang aku tutup lantaran amat sedikit lagi kuasa baterinya. Aku ke balik air, membuka sekejap telefon bimbitku. Keluar nada telefon lama ...SMS dari FairusKAW lagi .. bukan Mila. Dia yang kerap bertanya khabar ingin tahu perkembanganku. Aku tak berani nak menjawab, biar tergantung SMS itu. Aku lebih mahukan prihatin seorang isteri! tapi nilai simpati seorang kawan sudah cukup dapat meredakan resahku, tapi tidak sakitku. Hari makin petang. Telah Asar tentunya.

- Bersambung

Hospital Serdang...
pEnGaiLSeJaTi | Posted on 18.4.2007 at 11:05 AM
Bila abg idan cite mengenai hospital serdang,teringat pulak saya semasa menjaga isteri di wad bersalin hospital serdang tempoh hari...memang hopital ini ramai pengunjungnya lantaran keadaan hospital yang cantik dan masih baru...kadang-kadang bila bosan berada d iwad,saya suke duduk berehat dikawasan loby sambil melihat gelagat manusia...