iDAN

04 Februari 2009

Titisan air bergantungan

Dominasi hitam-putih masih mampu memberi keselesaan jika kita bijak memotong momentumnya.





LAMPU siling seperti titisan air berlatarkan batu gunung berapi menjadi kekuatan ruang ini.


SEJALUR batu dari gunung berapi di Indonesia bertempek pada salah satu bahagian dinding ruang tamu utama rumah banglo empat tingkat Templer Hills di Selayang, Selangor.

Dipotong berpetak dan disusun tidak rata, tujuannya tiada lain iaitu untuk memberi karakter kepada ruang yang disifatkan pereka kanan ID Benchmark Sdn. Bhd., Valerie Choi, sebagai terhad itu.

"Rekaan kami sangat mudah. Untuk itu kami membiarkan ruang-ruang di sini didominasi warna putih dan hitam.

"Bagi memotong momentum di ruang yang ringkas di ruang tamu ini, kami meletakkan set sofa dan meja berbentuk heksagon," ujar Valerie.


RUANG makan bermotif hutan yang elegan.


Turut menyuntik warna merah bagi mengelakkan suasana yang mendatar, usaha itu dilihat membuahkan hasil terutamanya melalui pemilihan perabot yang berciri futuristik dan unik.

Bagaimanapun, kata Valerie, ketinggian siling paling banyak membantu 'meluaskan' lagi ruang tamu itu.


BILIK bertema bulat untuk ciri feminin.



DUA sudut merah.


Satu lagi aspek yang menarik pandangan ialah lampu siling bertingkat yang kelihatan seperti titisan air bergantungan di tengah-tengah ruang itu. Bentuknya yang leper juga menyumbang kepada unsur kasual dan santai.

"Kami mahu mendapatkan persekitaran hutan, tetapi dalam terjemahan moden. Disebabkan itulah kami memilih lampu dan batu dari gunung berapi ini. Kalau diperhatikan pada ruang makan, persekitaran itu lebih terasa. Lihat saja kerusi makan dan lampunya," kata Valerie lagi.

Masih mengekalkan dominasi hitam-putih, tidak mustahil ruang makan itu menjadi antara ruang yang paling elegan di dalam kediaman mewah ini.

"Ruang makan adalah antara bahagian yang paling saya suka kerana ia luas dan sangat selesa," kongsi beliau.

Di aras lebih bawah yang hampir dengan kolam mandi dan landskap luar ialah bilik rekreasi yang digambarkan Valerie sebagai bilik bersantai selepas mandi-manda atau beriadah di luar rumah.


KONSEP 3D di bilik tidur utama.


Ruang rehat serba putih yang disisipkan warna hitam, kelabu dan coklat itu sangat ringkas. Namun pemilihan perabotnya wajar dipuji kerana bersesuaian dengan fungsinya yang memerlukan ciri tahan lasak dan tidak mudah comot serta mudah dibersihkan.

Meneroka ruang privasi, kamar tidur pertama yang diperkenalkan ialah milik anak perempuan tuan rumah.

"Bilik ini kami berikan konsep feminin. Tidak terlalu menitikberatkan warna-warna 'kewanitaan', sebaliknya kami memilih bentuk bulat sebagai tema. Daripada katil dan lampu, kepada corak bantal, langsir, lampu dan kertas dindingnya," jelas pereka muda ini.

Bagi bilik yang lebih maskulin, Valerie dan teman-teman mencadangkan bentuk segi empat dan warna yang lebih gelap seperti hitam dan kelabu.

Jelas dapat diperhatikan pada cadar katil, lantai parquet lebar, kertas dinding, dan riasan dinding pada kepala katilnya, kekuatan bilik itu sebenarnya lahir daripada pencahayaan yang dramatik.


SILING flora memberi kelainan kepada ruang keluarga ini.


Kata Valerie, bilik tidur utama adalah kemuncak privasi. Jika kedua-dua bilik tadi menerapkan banyak unsur dua dimensi (2D), di dalam bilik tuan rumah segala-galanya berbentuk tiga dimensi (3D).

Dinding pada kepala katilnya menggunakan kaca dan kotak cahaya, timbul dan tenggelam pada turutan tidak sekata. Kraf dinding berasaskan kayunya pula dirancakkan dengan kiub kayu putih mobil yang dapat dialih untuk susunan yang berbeza mengikut selera.

Bilik airnya yang diisi dengan jakuzi muatan dua orang dimulakan dengan kertas dinding warna merah berkarakter pada dinding luarnya.




Jika emosi ghairah yang ingin disasarkan, warna asmara itu seharusnya membantu. Ditambah dengan lampu candelier bercahaya malap, unsur romantis sudah lama bertamu.

Malah, dari jakuzi, penghuni dapat menikmati pemandangan landskap di luar rumah berikutan kedudukan dinding kaca bilik air itu terletak sejajar dengan dinding kaca bilik.

Kosmos