iDAN

09 September 2009

Cerita mereka yang 'pergi' (Delima Merkah)

"MIMIM, puasalah. Kalau Mimim puasa, Mimim dapat pahala. Bila Mimim dapat pahala, Abi dengan Ummi pun dapat pahala. Mimim, sayang Abi kan?" pujuk seorang bapa yang membahasakan dirinya 'Abi' kepada anaknya yang berusia lima tahun. Pujukan agar anak kecil itu berpuasa dilafazkan si bapa pada Ramadan tahun lalu.

Tahun ini, kata-kata pujukan itu hanya tinggal kenangan dalam diri Mimim atau Sofiah Munawwarah Asri, 6. Suara lembut itu tidak lagi kedengaran kerana bapanya, Ustaz Asri Ibrahim telah 'pergi tak kembali' pada 13 Ogos yang lalu, kurang dua minggu sebelum Ramadan menjengah. Asri, 40, yang merupakan vokalis kumpulan nasyid Rabbani meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mungkin sukar buat Mimim melupakan memori bersama bapanya yang menjadi tempat bermanja. Apatah lagi, Mimim akrab dengan bapanya.

"Masa awal-awal puasa tahun ini, Mimim terkesan dengan kehilangan arwah dan sukar untuk dia berpuasa tanpa sokongannya. Saya risau juga, tapi Alhamdulillah sebab ia tidak berlarutan lama. Kini, dia sudah boleh berpuasa dengan baik," kata isteri Allahyarham Asri, Halizah Shahadan ketika ditemui Kosmo! di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Pujuk

Bercerita tentang cara arwah mengajar anak berpuasa, Halizah, 38, berkata, arwah memujuk anak-anak agar mula berpuasa pada usia seawal lima tahun.

"Bukan Mimim sahaja. Abang-abang dan kakaknya dulu pun begitu cara pujukannya. Pujukan arwah mudah diterima mereka dan anak-anak ternyata boleh berpuasa dengan baik.

"Bagi arwah, perkara-perkara kebaikan tidak patut ditangguh. Sebab itu, anak-anak diajar berpuasa pada usia kecil lagi," tambah Halizah mengimbau sifat suami tercinta.

FARIDAH (dua dari kanan) semasa pengebumian suaminya, Shukery pada Jun lalu.

Bercerita lanjut tentang kenangan Ramadan bersama arwah, Halizah berkata, arwah hanya mempunyai banyak masa bersama keluarga pada tiga hari pertama Ramadan sahaja, selebihnya dia sibuk di luar membuat persembahan di hotel.

"Penduduk-penduduk di taman perumahan ini suka sangat bila dia dapat jadi imam solat di surau walaupun sekejap.

"Bila dia ada di rumah, memang tak sunyi. Sebelum waktu berbuka, terdengarlah suara dia berceloteh, memberi nasihat dan berjenaka dengan anak-anak. Anak-anak memang manja dengan dia. Kalau pasal anak-anak, penat macam manapun, dia boleh layan dengan baik. Tak pernah merungut," kata Halizah merenung kosong pada ruang rumah yang agak sepi.

Selain Mimim, tiga anaknya yang turut berada di rumah ketika kunjungan Kosmo! ialah Atikah, 12, Ilham Fikri, 10, dan Hamdi Rabbani, 5. Dua lagi anaknya, Mohd. Nasiruddin, 15, Mohd. Fathi, 14, tinggal di asrama.

Juadah

Kata Halizah, juadah buka puasa yang digemari Asri adalah kuih tepung pelita dan ayam golek. Asri tidak suka minum air sejuk. Semasa bersahur pula, Asri memastikan dirinya minum susu alpha lipid kerana menghidap gastrik.

"Selepas subuh, menjadi amalannya membaca surah Yasin. Bukan bulan puasa sahaja, bulan-bulan lain pun dia baca. Tarawih kalau balik lewat macam manapun, insya-Allah dia akan pastikan untuk mengerjakannya.

"Bila arwah berada di luar rumah, saya tahu dia bekerja untuk dakwah dan meraikan orang. Arwah tidak berkira dalam hal-hal menggembirakan orang. Sedekahnya dalam bentuk begitu. Dia selalu ingat, memenuhi hajat orang, besar pahalanya," katanya sebelum menambah:

"Arwah hanya menyanyi di depan orang ramai. Di rumah, dia malu hendak menyanyi."

SOFIAH MUNAWWARAH membaca satu keratan akhbar mengenai bapanya.

HALIZAH saat berbicara tentang Asri.

Menjalani kehidupan tanpa suami, segala tanggungjawab kini terletak di bahu Halizah.

"Memang saya merasakan kehilangannya. Masa dia meninggal dunia, terasa seperti hati saya turut dibawa pergi. Tetapi, saya perlu kuat untuk menjaga anak- anak sehingga mereka berjaya," ujarnya.

Halizah bersyukur kerana nasibnya mungkin lebih baik berbanding dengan sesetengah ibu tunggal. "Saya ada mata pencarian untuk menyara anak-anak dan saya ada rakan-rakan yang memberikan sokongan. Saya ingin membantu ibu tunggal yang lain," katanya yang mempunyai bisnes tudung.

Solat tarawih

Kesedihan kehilangan orang tersayang turut dirasai keluarga Allahyarham Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh. Tokoh ekonomi itu meninggal dunia kerana diserang sakit jantung pada 27 Ogos lalu semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura.

POTRET keluarga Allahyarham Ismail yang dirakamkan pada Aidilfitri tahun lalu.

Allahyarham yang cacat penglihatan sempat menghirup nikmat Ramadan tahun ini walaupun cuma beberapa hari.

"Ayah sempat solat tarawih berjemaah di rumah pada tiga malam Ramadan pertama tahun ini. Memang menjadi kelaziman keluarga kami bersolat tarawih di rumah dan ayah menjadi imam. Kadang-kadang dia yang tunggu kami atas tikar sejadah," kata anak Allahyarham, Syafiq Hanis Ismail, 19, ketika ditemui Kosmo! di Kajang, Selangor.

"Sebaik sahaja ayah meninggal, abang sulung mengambil alih tugas ayah. Memang terasa sangat kenangan bersamanya terutama apabila kami sekeluarga bersolat tarawih di ruang tamu," kata Syafiq yang sering menemani bapanya menjalani rawatan dialisis buah pinggang.

Positif

Syafiq menyifatkan bapanya seorang yang sangat positif dan tidak pernah mengeluh tentang kekurangan dirinya.

"Saya sebenarnya tidak mampu hendak menggambarkan bagaimana dirinya. Tetapi dia sentiasa positif. Benda yang negatif akan dijadikan positif. Dia tidak akan berprasangka buruk dengan orang walaupun orang itu jelas keburukannya. Dia sentiasa mendoakan orang agar menjadi lebih baik.

HALIZAH tabah menjalani kehidupan dan melayan kehendak anak-anaknya.

SYAFIQ (kanan) berkongsi cerita tentang bapanya, Allahyarham Ismail sambil diperhatikan ibunya, Hasnah Wahab.

"Keupayaannya lebih hebat daripada orang normal. Kadang-kadang kami yang kira guna kalkulator pun kalah. Jarinya sangat sensitif dan boleh mengagak rupa atau corak," kata Syafiq sambil dipersetujui kakaknya, Nor Hazwani Hanis Ismail.

Cerita Nor Hazwani, 24, bapanya cukup gemar mendengar zikir-zikir dan bacaan ayat suci al-Quran.

"Sementara menunggu waktu berbuka puasa, dia suka pasang alunan zikir atau bacaan ayat al-Quran kuat-kuat. Sampai kadang-kadang, azan berbuka pun kami tak dengar," tokok Nor Hazwani.

Isteri Allahyarham Ismail, Datin Hasnah Wahab, 51, berkongsi cerita tentang makanan kegemaran arwah. Katanya, arwah sangat suka telur itik masak cili api dan nasi lemak kukus sambal sotong.

"Memang sedih bila teringatkan arwah. Lagi pula, bila arwah cukup teruja untuk menyaksikan perkahwinan pertama anak kami yang bakal berlangsung pada Disember ini," katanya yang dikurniakan enam cahaya mata bersama Ismail.

Minat masakan

Tarikh 10 Jun lalu, dunia seni lakon tanah air kehilangan seorang aktor hebat, Shukery Hashim, 55, yang meninggal dunia kerana kanser pankreas. Pemergiannya membuatkan kita terkenang senda guraunya dalam drama-drama lakonannya. Isteri Allahyarham, Faridah Mat Desa, 52, berkongsi kisah kenangan bersama arwah pada bulan Ramadan.

Menurut Faridah, arwah sangat pentingkan keluarga, dan menjadi perancang makanan yang hendak disajikan kepada keluarga untuk berbuka puasa.

"Dia yang bagi tahu apa hendak dimasak. Dia memang minat hal-hal masakan dan resipi. Kalau dia berada di lokasi shooting pun, dia akan hubungi mak cik. Dia tanya, kau masak apa hari ni? Biasanya, masakan yang dia cadangkan memang disukai anak-anak.

"Pada bulan puasa tahun-tahun sebelum ini, mak cik ada ambil tempahan membuat kuih raya. Arwah memang selalu membantu mak cik menyiapkan kuih raya. Dia sentiasa bagi sokongan. Kalau kuih tat, dia jadi tukang sapu telur. Sambil buat kerja sambil melawak. Tahun ni... tiada lagi macam tu...," katanya menahan sebak.

Faridah juga memberitahu, Shukery seorang yang gemarkan suasana kampung. Dia membela ayam dan berkebun. Kalau di rumah, sebelum masuk waktu berbuka, dia akan melihat ayam-ayamnya dan bercucuk tanam di kebun di depan rumah. Makanan kegemarannya pula adalah ikan tongkol garam asam.

"Seminggu sebelum meninggal dunia, arwah kerap mendengar zikir. Dia selalu berkata pada mak cik yang dia akan pergi, tapi mak cik melawak pula dengan dia. Mak cik tanya...,nak pergi mana? Sebab mak cik fikir masih ada harapan. Hanya bila diberitahu doktor yang mereka sudah tidak boleh buat apa-apa, baru mak cik percaya kata-katanya.

"Dia kata kepada mak cik, redakanlah pemergiannya. Sebelum mulutnya mengucapkan yang dia sudah jatuh cinta pada Allah," ujarnya.

Kosmo!