iDAN

05 Januari 2010

Mencari Damai di Teluk Batik 4 (Singgahsana)


Zaman sekolah rendah Teluk Batik adalah pantai yang terdekat dari kampung halamanku Desa Tualang. Selalunya sebut Pesta Lumut maka gempaklah satu kampung. Terkadang aku mengikut rombongan orang kampung untuk berkelah di Teluk Batik ini, pernah juga arwah Apak bawa kami dengan keretanya melihat Pesta Lumut. Perjalanan ke Lumut mengambil masa sekitar dua jam, ikut Batu Gajah, Parit, Bruas jalan lama.

Kenangan zaman sekolah itu cuma berbalam sahaja; terlalu lama jarak masanya kini. Sekarang aku dari jauh memandu sendiri & bersantai di pantai Teluk Batik ini. Pantainya sederhana besar & banyak terdapat pokok yang rimbun. Gerai jualan semakin banyak & nampak teratur. Baju yang dijual memang cantik² sebab sesuai dengan nama Teluk Batik bercorakkan batik tempatan yang sememangnya anggun. Cumanya orang yang telah boroi seperti aku agak payah mahu mendapatkan baju saiz XXL. Selain pakaian tentunya makanan kering dari laut. Sebut sahaja apa jenis makanan kering, dari ikan masin hinggalah sotong pelbagai resepi masakannya. Tak jadi masalah jika ingin membeli ole-ole. Dinasihatkan beli di pekan Lumut jauh lebih murah.

Pantai Teluk Batik

Hanya Anif & adik Azim mandi laut di Teluk Batik yang lain sekadar santai & bergambar di pantai ini. Cara hidup rakyat kita kini telah mengikut jejak orang Siam. Tahun 90an aku pernah ke Phuket di mana di pantai mereka tersedia sofa² kayu untuk Mat Saleh berjemur. Pemandu Pelancong memanggil minah Mat Saleh ini Ikan Duyung. Sofa kayu ini jika kita guna kena bayar sewanya; ini yang terdapat di Teluk Batik sekarang, semasa kami menyewa sebelah petang sebuah sofa sekadar RM2 sahaja mungkin lantaran telah pun hampir senja. Secara lojiknya tentunya sofa ini akan disewakan sekitar RM5 jika dari pagi ke petang. Selain itu biasalah sewa pelampung, kayak & naik belon berbentuk pisang. Meriah!.

Air di pantai ini agak dalam, tak landai maka anak² tak bolehlah bermain jauh ke laut. Semasa aku di pantai hari Isnin ia itu hari bekerja maka tidaklah sesesak mana. Memang damai di sini jika ingin melihat mentari terbenam. Waktu kami di pantai air mulai pasang, ombak di sini sederhana Laut Selat Melaka tidaklah seganas Laut Cina Selatan.

Jeti Lumut kini semakin cantik

Mengikut perancangan aku mahu tidur di Desa Tualang, jika tiada aral sekitar dua jam sampailah ke kampungku. Maka aku membuat keputusan melihat mentari terbenam di Lumut sahaja dijangka sekitar jam 7:00 atau 8:00 malam bertolak dari Lumut maka tidaklah jauh malam sampai di kampung. Semuanya menjadi tersasar boleh tersesat masuk ke kem Raihan tinggal; macam mana aku termamai pun tak pasti, kena diambil Mycard & patah semula untuk ke Lumut. Di Lumut pula Afiz tak setuju parkir jauh sangat kena bayar lagi sebab termasuk parkir kenderaan ke Pulau Pangkor. Akhirnya aku lepak sendiri di Avanza menunggu Mila & anak² membeli belah. Payah dapat parkir di pekan Lumut, kalau ada pun jauh terpencil.

Ada dua kedai borong barangan laut milik orang kita Melayu; betul² di hadapan Blue Bay Resort, Lumut. Kedai ini agak besar juga senang parkir & memang murah. Aku beli di kedai sebelah kiri, sebelah kanan ada nama Jamilah; sensitiflah pula nama Mila tertera di papan tanda kedainya.

Sekitar jam 8:30 malam baru kami meninggalkan Lumut menuju ke Batu Gajah. Sempatlah Mila & anak² melihat Lumut di waktu malam. Dalam perjalanan sempatlah aku menyimpang ke Bandar Seri Iskandar tapi tak jumpa rumah Yasin. Memang banyak restoran yang dilalui sepanjang perjalanan tetapi aku terfikir baik makan di Batu Gajah bandar kecil mungkin makanannya lebih istimewa banding jalan besar di mana sering bas pelancong singgah.

Azim tak sabar nak terjun laut

Banyak rupanya jalan baru untuk ke Batu Gajah. Mila keliru dengan kedudukan Gopeng. Memang ada jalan pintas ke Gopeng tetapi masalah mahu makan di mana. Tak siapa berani makan di Gopeng masalah santau sejak berzaman memang tak selesai di pekan Gopeng. Maka itu tak ada pun satu kedai makanan yang maju di pekan Gopeng. Maka aku terpaksa menuju ke Batu Gajah semata-mata mahu mencari kedai makanan. Sekitar 9:45 malam baru sampai di Batu Gajah. Mila sudah mulai bising kelaparan. Nak jadi malang terpilih kedai yang asyik berkaraoke. Orang zaman 60an belaka berkaraoke.

Aku memanglah terasa bila mendengar bebelan Mila kelaparan pun aku tersesat jalan, manalah kita tahu perjalanan yang tanpa pun ada peta panduan sekadar mengikut papan tanda jalan; tentulah stres. Berjalan malam bagi orang berumur memang agak nyanyuk; daya ingatan semakin kurang. Pula tu! manalah kita tahu kedai yang kita singgah punyailah lembab; siap tanak nasi lagi, sejam lebih baru sampai makanan yang dipesan. Karaoke yang beralun memang sedap belaka Pakcik Batu Gajah nyanyikan tapi nyanyian di perut lagi keroncong & membingitkan.

Siap satu demi satu dihidangkan; bukan sekali gus dihidang sejam lebih barulah dapat makanan yang aku pesan!. Anak² dah mula lapar semula. Masalah makan di luar bagiku memang telah masak banget; tak jadi masalah lambat atau cepat cumanya jangan ada kalangan keluarga yang resah & bersungut!. Angin jadinya. Pernah berlaku ada pelanggan yang meninggalkan meja atau terbalikkan meja kalau memang lapar gila tapi makanan tak muncul-muncul. Aku taklah sampai begitu. Berpuasa sepanjang hari boleh takkan nak menunggu sejam dua tak boleh!.

Teluk Batik

Desa Tualang ketika malam sememangnya bagaikan perkampungan tinggalan lama. Sunyi sepi sangat, hutan keliling, neon jalan amat sedikit. Perjalanan dari Gopeng ke pekan Kota Bharu Perak memang sunyi. Bayangkan aku hanya bertembung dengan sebuah kereta sahaja perjalanan yang berbelas km. Dengan kuil india & pokok aranya. Jalannya pula berliku-liku. Tak dapat aku bayangkan bagaimana Abg Ali waktu bercinta dengan Kak Nomie sanggup berjalan tengah malam dari Gopeng ke Kota Bharu ini sendirian. Ada sekitar dua tiga kampung & perumahan sahaja sepanjang perjalanan. Selebihnya kalau dulu ladang getah sekarang telah bertukar manjadi ladang kelapa sawit.

Sampai di rumah arwah Opah Bi sekitar jam 11:30 malam; huh! gara-gara mahu makan di Batu Gajah. Berbual dengan Rahman bekas Ketua Kampung sampai jam 2:30 pagi. Isteri Rahman; Izan telah masak banyak sebenarnya, dia Tom Yam & pelbagai. Mila yang tak faham maksud bualan di telefon.

Masalah politik di Perak memang menjadi isu; Rahman adalah bekas Ketua Kampung bagi PR. Maka banyak maklumat yang aku dapat cungkil. Katanya keputusan Mahkamah Rayuan 3/2 memihak PR tapi faham² sahaja BN mana mungkin mahu umumkan. Paling aku sedih tanah sekitar kampungku habis disamun lanun dari luar. Datuk² dari luar habis belasah Tanah Rizab Melayu, sekarang tengah ura-ura nak jual batu buat simen. Sebagahagian lagi jatuh ke tangan bangsa asing. Tanah pasir lombong jangan ceritalah; orang kampung pun telah buat banglow berpakat² jual pasir melalui kuncu² golongan BN ini. Bayangkan selori pasir tak sampai pun RM10 bila dijual ke pemaju sekitar RN70 selori; siapa yang kaya tu?.

Tak dapat aku bayangkan jika datuk moyang kita hidup semula; betapa mereka ini bersusah payah, meneroka & membangunkan kampung ini. Aku teringat bagaimana arwah Apak berkerja keras membuka tanah; upah orang sana sini. Arwah apak memang terkenal dengan sikap bela dirinya, aku lihat dia asah parang panjang bila anak² tak balik ketika 13 Mei. Aku teringat arwah Abg Din redah kampung sebelah lantaran ada yang berani nak bakar rumah pusaka; ditembaknya si gerladangan, katanya kena kaki. Polis pun tak berani nak bertindak sebabnya memang mereka ini penceroboh. Bila hak tercabar mana mungkin duduk diam! Tapi kini apa orang kampung buat dengan penceroboh ini?.

Bukit Senyum yang baru sahaja aku uar²kan telah lenyap. Orang kampung sama² jual tanah, jual pasir. Orang kampung ini bukannya ada tanah pun di kampung ini lagi!. Menumpang di tanah² milik kerajaan kini. Golongan ini masih ujud di kampung. Mana ada sikap sayang kampung halaman. Penjarah belaka.

Aku tak jenis tegar atau taasub dengan mana-mana parti politik tetapi aku amat menyampah mereka yang kejar harta sanggup gadaikan maruah bangsa; sanggup jual tanah Rizab Melayu milik nenek moyang kita. Telah kaya tak sedar diri. Golongan ini paling aku menyampah.

Asrama Putra Jalan Watson Ipoh

Selepas aku menghantar Aziq ketemu rakannya di Ipoh; aku sempat ke Jalan Watson. Di mana Asrama Putra tempat aku belajar sekitan tahun 70an. Asrama Putra Jalan Watson telah tiada. Telah dirobohkan menjadi padang bola. Tinggal dua bangunan lama terbiar si pinggir jirat cina. Asalnya ada tiga blok bangunan tempat kami berasrama. Sedih amat rasanya melihat bangunan asrama ini terbiar; bangunan FRU di depan Asramaku masih cantik dijaga. Banyak persekitaran Jalan Tambun telah berubah, aku tersasul masuk ke kawasan rumah Ketua Polis Daerah Ipoh. Tak fasal-fasal Polis Ronda terkedu; satu kerja mengekori Avanzaku. Biasalah langkah keselamatan. Dalam Avanza alatan pancing adalah. Takkan aku nak mancing Ketua Polis kut!.

Aku kembali ke Desa Tualang setelah ke Ipoh tak sempat nak singgah banyak tempat si Anif tetiba pening kepala. Tidur tak cukuplah tu!. Terbuntang di bangku depan Avanza. Menuju ke Baatu Gajah mencari umpan pancing.

Ingat petangnya mahu memancing; hanya Azim yang mahu menemankan aku!. Tetapi amat mengejutkan setahun lalu tapak lombong yang luas ini banyak ikan. Sekarang ianya telah keruh airnya. Apa ikan pun tak mahu makan umpan. Semuanya gara² jual tanah lombong!. Dua kali baling aku pun kembali ke Tasik Azim di kampungku. Pun ceriteranya sama. Telah ada jentolak di parkir yang aku selalu guna. Kawasan ini bakal dimajukan; batu batan di kampung aku akan dipunggah orang Datuk dari luar! Keadaan ini kena dibetulkan. Bagaimana mahu menyedarkan orang kampung yang kian menjual kampung. Termati niat memancing, gerimis pun mulai turun, aku & Azim sekadar mengambil gambar dari jendela Avanza.

Ini jadinya Kampung Bakap dimamah lombong.

Apakah kampung aku akan jadi seperti Kampung Bakap. Cuma tinggal tanah wakaf sahaja kini. Kampung Bakap telah tiada di peta dunia. Apakah orang kampung juga mahu keadaan yang sama. Aku kecewa sangat melihat keadaan kampungku. Berpecah fahaman. Badanku pun terasa amat penat & lesu. Bagaikan demam kian menyerang!, bungkam amat rasanya.

Selepas magrib aku pulang ke Jenaris dengan badan yang memang amat penat. Penat yang lebih adalah lantaran radang melihat gelagat orang kampung yang tak sayang kampung sendiri. Sampai Jenaris sah aku demam kuat; demam apa pun aku tak tahu. Tak boleh bangun & aku tidur sepanjang hari!. Tak ingat entah berapa hari aku tak mampu bangun lagi. Tak sedar pun bila siang bila malam.