iDAN

27 Februari 2010

Aku sampai di Taman Rekreasi Gunung Datuk Rembau (Singghasana)

Semalam aku sempat singgah sebentar di Taman Rekreasi Gunung Datuk Rembau, Negeri Sembilan, menarik tempatnya. Dari Pekan Rembau sekitar 15 km ke lokasi. Perjalanannya tidak sukar lantaran jalan yang menghubungkan pekan Rembau & daerah Bongek amat selesa.

Sepanjang jalan Rembau ke Bongek banyak terdapat jualan hasil kampung, pisang, ubi, keledek & ulaman. Aku jumpa orang kampung asal Bruas berniaga di sini. Jauh lebih murah dengan harga di perjalananku dari Mantin ke Seremban. Petai di tepi jalan sekitar Mantin seikat lima papan berharga RM5. Di Rembau baru RM3 seikat dengan jumlah papan yang sama. 5 papan. Di sini juga banyak terdapat ulaman lain seperti jering & kerdas. Emmm! nak borong banyak pun cuma aku seorang yang suka makan berulam.


Terdapat chalet untuk bermalam & jika mahu berkempen juga amat damai lagi selesa di Gunung Datuk. Terdapat sebuah kantin & ruang parkir yang lapang. Air di jeram di sini amat jernih masih tidak tercemar. Cumanya jika mahu bermalam eloklah berkumpulan. Jika sekeluarga agak sunyi & jauh dari perkampungan.

Taman Rekreasi Gunung Datuk terletak 1 kilometer dari kampung Batang Nyamor. Terdapat tapak perkhemahan di puncak dan dikaki Gunung Datuk. Ketinggian Gunung Datuk 880 meter dari aras laut.


Dikatakan bahawa di atas ouncak Gunung Datuk terdapat kesan sebelah tapak kaki yang dipercayai tapak kaki Laksamana HangTuah - wallahualam

Hubungi
Abd. Rahman bin Hj Idris
Taman Rekreasi Gunung Datuk
Kampung Batang Nyamor
71350 Kota,
Rembau, Negeri Sembilan
Telephone: 06-4382390
Mobile: 013-6182264



Aku sebenarnya lebih teringin memancing tapi melihat ramai pengunjung yang mandi manda maka terasa seganlah pula mahu mengganggu mereka. Aku terfikir mencari lubuk di kaki air terjunnya. Aku jumpa beberapa lorong ke lubuk yang menarik tetapi seramlah pula lantaran nak masuk hutan sendirian. Akhirnya aku singgah di lubuk bawah sekali, kawasan tanah lapang & memang banyak ikan.


Nak jadi malang umpan cacing yang aku bawa semuanya ghaib, mungkin telah menjalar ke luar balang, mungkin juga mati lantaran aku telah lama tidak pernah memastikan ianya masih ujud di balang tersebut. Selalunya kalau aku tak habis umpan akan taruh ke dalam balang besar tersebut. Kira malanglah tu!.

Maka terkial-kial aku di dalam semak mencari cacing. Di Hutan Gunung Datuk payah mencari cacing rupanya. Aku pun satu tak bawa roti atau juga umpan lain. Sedang asyik mencari cacing hujan turun bukan main lebat. Huh! jam pun dekat 4:30 petang, selipar pula terputus. Aku batalkan sahaja niat memancing. Janji denganMila & anak-anak mahu jemput mereka di Taman Tema Air Panas Pedas sekitar jam 5:00 ke 6:00 petang. Lupakan lubuk Gunung Datuk.

Peniaga Pasar Malam Minggu di Rembau pun nampaknya telah mula menyusun jualannya. Sempatlah aku beli jagung bakar, putu bambu pun pulut panggang. Pulut panggang masih 3 ketul berharga RM1. Sayur seikat RM1 nampak agak besar ikatannya. Barangan basah di Rembau nampaknya masih murah. Ini seronoknya tinggal jauh dari kota besar atau jauh dari Lembah Klang ini.

Aku bertolak dari Pedas sekitar jam 5:45 petang singgah di Taman Tasik Seremban sampai dekat waktu maghrib. Jam 8:00 malam telah sampai di Jenaris ikut Lebih Raya LEKAS. Betapa cepat & pantasnya perhubungan kini.

Taman Tasik Seremban

Mendaki sambil kutip sampah

Keletihan memang tidak dinafikan tetapi yang paling utama ialah misi kami telah mencapai matlamatnya berkat daripada kerjasama semua pihak.




JIKA sebelum ini, pendakian kami ke Gunung Datuk (2,886 kaki atau 870 meter) dari paras laut di Negeri Sembilan sekadar untuk memenuhi impian ke puncak gunung, tetapi kali ini kami membawa misi untuk melakukan kerja amal dengan membawa sampah turun dari gunung tersebut.
Kami menjangka akan membawa turun seberapa banyak bahan buangan yang ditinggalkan pendaki sebelum ini. Antara yang biasa dibuang oleh pendaki ialah botol air mineral, plastik, kotak rokok dan pelbagai sampah sarap daripada pembungkus makanan segera seperti mi segera dan lain-lain.




Aktiviti kali ini disertai seramai 14 orang ahli yang ditaja oleh Kelab Sukan & Rekreasi Inter-Pacific Kuala Lumpur atau ringkasnya S.C.R.I.P.S.
Atas kesedaran dan sokongan untuk memelihara alam sekitar, pendakian ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua ahli untuk menyumbang kerja amal secara sukarela bagi membersihkan kawasan pendakian dan sekitarnya.
Memadai dengan mendaki gunung yang tidak terlalu tinggi dan kerja amal ini dilakukan mengikut keupayaan setiap peserta. Apa yang pasti waima hanya berjaya menawan puncak gunung yang rendah, kami berasa bangga dengan kerja-kerja yang kami jalankan.
Kali ini, kami mendapat kerjasama yang baik daripada Rahman yang bertugas di Taman Rekreasi Gunung Datuk. Rahman juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama-sama membersihkan kawasan pergunungan Gunung Datuk.


ANGGOTA ekspedisi dua dalam satu iaitu mendaki gunung sambil menjayakan kerja amal di Gunung Datuk.


Taman Rekreasi Gunung Datuk ini ditadbir oleh Koperasi Gunung Datuk Rembau Berhad yang menyelia dan menyediakan segala kemudahan dengan bayaran yang berpatutan. Tapak perkhemahan yang luas dilengkapi dengan kemudahan elektrik, air, tandas, chalet dan dewan serbaguna untuk kegunaan pengunjung.
Di kaki Gunung Datuk juga terdapat aliran sungai yang mengalir jernih dan sejuk sesuai untuk mandi-manda dan bersantai bersama keluarga.
Kami sampai di kaki Gunung Datuk pada pukul 10.00 pagi dan membuat senaman regangan otot sebelum memulakan pendakian. Setelah semua persediaan lengkap, kami berasa tidak sabar untuk menawan puncak gunung sambil membawa turun sampah.
Kebanyakan peserta yang mengikuti pendakian kali ini adalah orang baru yang pertama kali mendaki gunung. Mungkin ini yang menyebabkan mereka berasa teruja untuk mendaki, manakala bagi kami yang pernah mendaki, keselamatan peserta amat diutamakan dan misi utama perlu dilaksanakan.
Semasa mendaki, kami akan mengutip dan mengumpul sampah di laluan bersebelahan trek untuk memudahkannya dikutip apabila turun nanti. Ini kerana kebiasaannya, di bahagian puncak gunung lebih banyak sampah yang perlu dibawa turun.
Terdapat juga tangan nakal pendaki yang menconteng batu, pokok, tanda aras ketinggian dan papan tanda nama pokok dengan nama mereka dan pelbagai tulisan yang mencacatkan keindahan alam semula jadi.


LIMA pendaki bersama bungkusan plastik berisi sampah yang dibawa turun.


Hujan pada malam sebelumnya menjadikan trek lebih licin dan berbahaya semasa mendaki di laluan berbatu dan curam. Pacat juga menjadi teman setia kepada setiap peserta dan inilah lumrah yang perlu dilalui oleh setiap pendaki.
Trek basah memberikan kami lebih cabaran semasa mendaki. Hanya akar pokok menjadi pautan kami untuk terus mendaki ke puncak.
Dari awal permulaan mendaki hingga sampai ke puncak, banyak sampah yang berjaya dikumpul. Kami sampai di puncak sekitar pukul 1.30 petang. Peluang berada di puncak tidak kami lepaskan untuk bergambar dan berehat seketika.
Sekitar pukul 2.30 petang, kami mula bergerak turun dengan membawa sampah yang ditinggalkan pendaki terdahulu di puncak gunung. Sampah dikutip, dikumpul dimasukkan ke dalam beg plastik berwarna biru. Secara purata, kami dapat mengumpul lima beg plastik berisi botol mineral dan plastik makanan. Sesungguhnya kerja amal yang dilakukan ini tidak mengharapkan sebarang imbuhan tetapi ia adalah khidmat kami kepada pemuliharaan alam sekitar secara percuma.
Sebelum ini juga, terdapat pendaki yang membawa turun sampah dari puncak gunung dan ini secara tidak langsung memudahkan lagi kerja kami.
Jika orang lain boleh melakukan sesuatu yang berfaedah kepada alam sekitar, kami juga mampu melakukannya. Cuma diharapkan kepada masyarakat keseluruhannya dan pencinta alam sekitar agar bersama-sama mempertahankan kebersihan pergunungan kita daripada dirosakkan oleh kehadiran sampah sarap yang menyakitkan mata melihatnya.
Kita juga tidak boleh hanya mengharapkan pihak taman rekreasi sahaja yang membersihkan kawasan pergunungan. Diri kita dan masyarakat sendiri perlu diterapkan satu amalan kebersihan yang akan diikuti oleh orang lain.


Sebagai sebuah kawasan rekreasi untuk seisi keluarga, amalan kebersihan boleh diterapkan kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Kita bukan hanya mengharapkan kebersihan persekitaran rumah, tetapi di luar kawasan juga perlu dititikberatkan kerana kebersihan itu perlu menjadi amalan hidup kita.
Gunung Datuk juga pada masa kini telah bertambah bilangan pendaki dengan siapnya beberapa buah chalet yang boleh disewa. Bagi yang berkeluarga, taman rekreasi ini adalah salah satu tempat sesuai untuk beriadah di hujung minggu.
Sekitar pukul 5.00 petang, kami sampai semula di kaki gunung dengan membawa hasil sampah yang dikutip. Keletihan memang tidak dinafikan tetapi yang paling utama ialah misi kami telah mencapai matlamatnya berkat daripada kerjasama semua pihak.
Keletihan dan keseronokan jelas terbayang pada wajah setiap ahli yang mengikuti aktiviti ini. Khemah kami dirikan sebelum malam menjelma bagi merehatkan badan. Kami juga menyediakan menu malam yang ringkas bagi mengalas perut sebelum pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.
Berakhirnya catatan aktiviti kali ini tidak bermakna tiadanya aktiviti akan datang. Kami dari S.C.R.I.P.S akan sentiasa memikirkan sesuatu aktiviti bermanfaat kepada ahli dan masyarakat amnya. Jika manusia memerlukan penjagaan sempurna, alam semula jadi juga memerlukannya.
Kosmo!