iDAN

03 April 2011

Kekuatan Semangat


Terkadang bila kita bangun pagi terasa malas amat sangat; nak sentuh air di kamar mandi sejuk bagaikan ais batu. Nak solat ke surau tak mampu kaki melangkah, terasa lepas solat Subuh nak sambung tidur semula. Orang tua sering berpesan akan mahal rezeki jika tidur lepas solat Subuh. Sebaiknya buka semua tingkap kasi angin masuk rumah; baca al-Quran agar Malaikat Rezeki menjenguk kita. Tahu semua tapi empunya diri malas amat nak lakukan. Tidak bersyukurkah ini?.

Zaman sekarang jika awal pagi buka tingkap akan masuk nyamuk Aedes gigit kita, waktu Subuh & Maghrib Aedes sangat aktif. Aedes bukan memilih mangsa waima orang baik jika ia lapar Aedes ini nak juga hisap darah si baik. Hatta bagaimana pula orang ke surau atau berjemaah di masjid tak pernah kita lihat di masjid ada ubat nyamuk dipasang. Benda ghaib begini sukar nak kita fahami. Seyogia inilah isunya zaman beralih makin sukar nak ikut rutin dahulu kala.

Isunya tadi perasaan malas, aku sering merasakan ada hari aku begitu malas, ada hari aku begitu ghairah menyambutnya. Isnin bagiku adalah hari paling malas atau gusar nak dilalui; alasannya setelah bercuti memang rasa payah nak kerja semula. Ini makin kurang terasa sebab aku kini telah bersara, tapi Isnin tetap aku terasa amat gelisah. Yang pasti Isnin aku tak akan dapat rasai masakan Mila. Mila hanya masak hari Sabtu & Ahad, bayangkan nak tunggu lagi lima hari baru Mila memasak. Jenuh amat. Rasa mengidamlah pula. Isnin juga sekitar rumah tak ada aktiviti seperti Pasar Malam atau Pasar Tani. Jenaris hanya ada Pasar Malam pada hari Ahad, Prima Sunjana pula, Selasa & Khamis. Pasir Tani pula hanya hari Sabtu.

Hari nan paling aku sukai pastilah hari Jumaat diikuti pula. Sabtu & Ahad. Sepanjang minggu malam-malam kena hantar Anif tiusyen dari jam 7:00 malam hingga ke jam 10:00 malam. Isnin hingga Jumaat jua aku akan menghantar Azim & mengambil Anif sekolah.

Mereka yang sentiasa bersemangat saban hari adalah mereka yang berjaya menikmati hidup ini dengan sebaiknya. Usia yang tidak terhenti adalah anugerah yang amat bernilai bagi kita manusia. Tak kiralah kita kini dalam suasana & dilema mana. Perkerja, penganggur, pelajar, petani atau pun warga emas.

Jangan kata orang bersara seperti aku tak buat apa, masih terikat dengan jadual harian yang ketat jua. Belum cerita bab beli lauk sayur & barangan dapur. Jika Afiz tak kerja mungkin dia dapat membantu pun Husna sejak tinggal di rumah ini banyak urusan dapur dia yang melakukan. Sebelum itu siapa nak buat semuanya. Ahli keluargaku jua dah terpengaruh dengan keajaiban Silap Mata; letak saja pinggang mangkuk di sinki ianya bersih berkilat dengan sendirinya.

Sekitar seminggu dua lagi aku akan menimang cucu; kata Husna dia nak berpantang di rumah ibunya di Seremban; maka pasti rumah ini kembali bagai dulu. Aku kena ambil alih kerja Husna. Bukan mudah nak jadi sura rumah tangga sepanjang masa. Dengan kekuatan semangat sahaja semua akan dapat diuruskan dengan lancar & bersih.



Dalam seminggu yang anda lalui.
Cerita sikit hari apa yang paling anda suka?.

Shaheizy Sam Bintang Paling Popular Oleh Akmal Abdullah



2011/04/03

GENTING HIGHLANDS: Pelakon utama filem Adnan Sempit dan Ngangkung, Shaheizy Sam mencipta sejarah apabila muncul pelakon lelaki ketiga dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular apabila mengungguli hadiah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, di sini sebentar tadi.

Shaheizy, 29, meraih 126,168 undi memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tertinggi, iaitu Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Beliau turut memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 hadiah iringan dan trofi.

Shaheizy juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

Trofi Bintang Paling Popular 2009 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2010 di Arena of Stars, di sini bertemakan Moden & Klasik dengan disaksi lebih 5,000 penonton.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, NSTP e-media.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil, 75, sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang perfileman tanah air selama hampir 60 tahun.

Lisa Surihani mencipta kemenangan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, sementara Faizal Tahir menepati ramalan apabila menggondol gelaran Penyanyi Lelaki Popular.

Yuna mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Kategori berkenaan sebelumnya disandang 13 kali oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular dimenangi kumpulan Sixth Sense, manakala Rabbani terus mempertahankan gelaran Penyanyi Nasyid Popular buat kali kesembilan.

Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Remy Ishak dan Fasha Sandha.

Juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, memenangi Artis Baru Lelaki Popular, manakala, Ana Raffali meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon drama, Norkhiriah pula buat kali ketiga mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana dari stesen Hot FM. Fara juga berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Aznil Nawawi berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali kesembilan.

ABPBH 2010 ialah edisi ke-24 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.

Edisi kali ini ditaja Celcom Axiata Bhd sebagai penaja utama.

Pemenang ABPBH 2010
2011/04/03

Pemenang ABPBH 2010

Bintang Paling Popular - Shaheizy Sam
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat - Datuk Rosnani Jamil
Penyanyi Lelaki Popular - Faizal Tahir
Penyanyi Wanita Popular - Yuna
Pelakon Filem Lelaki Popular - Shaheizy Sam
Pelakon Filem Wanita Popular - Lisa Surihani
Pelakon TV Lelaki Popular - Remy Ishak
Pelakon TV Wanita Popular - Fasha Sandha
Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular - Sixth Sense
Artis Nasyid Popular - Rabbani
Artis Komedi Lelaki Popular - Zizan Artis Komedi Wanita Popular - Norkhiriah
Artis Baru Lelaki Popular - Shahir
Artis Baru Wanita Popular - Ana Raffali
Pengacara TV Lelaki Popular - Aznil Nawawi
Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana