iDAN

22 Julai 2011

Hijrah

Penghijrahan sebahagian para sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (selepas Nabi diutus menjadi Rasul) adalah merupakan perintis jalan kepada hijrah yang lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W.. Peristiwa hijrah ke Madinah merupakan peristiwa penting di dalam sejarah Islam, kerana ekoran darinya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.

Gambaran awal bahawa Rasulullah S.A.W. akan berhijrah telah diutarakan oleh Waraqah bin Naufal sewaktu Baginda S.A.W.. mula-mula menerima wahyu yang pertama dan Allah S.W.T. Kata Waraqah:

"Demi Tuhan yang diriku berada didalam genggamanNya, sesungguhnya kamu adalah nabi bagi umat ini. Kamu telah didatangi malaikat Jibril yang pernah datang menemui Nabi Musa a.s. Demi sesungguhnya kamu akan dibohongi, disakiti, dihalau dan akan diperangi. Jika aku berkesempatan dengan hari itu, nescaya aku akan menolongmu untuk menegakkan agama Allah dengan pertolongan yang diketahuiNya."

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya,

"Tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah kecuali jihad dan niat"

Di dalam kitab Mestika Hadis telah menghuraikan bahawa perjuangan agama dan niat yang baik tidak terhad masanya bahkan sentiasa tertuntut untuk diamalkan oleh setiap umat Islam selagi hayat dikandung badan. Tuntutan hijrah berlaku sepanjang zaman seperti berhijrah dari satu tempat yang tidak ada tempat untuk belajar ilmu ke tempat yang boleh menuntut ilmu, juga dari satu tempat yang banyak melakukan maksiat ke tempat yang tidak ada maksiat.

Sebab-sebab berhijrah

Di antara sebab mengapa Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah ialah :

1.
Penolakan Kafir Quraisy, juga penduduk Taif terhadap dakwah Islam yang dijalankan oleh baginda.
2.
Jemputan penduduk Madinah yang telah memeluk Islam apabila mereka berkunjung ke Mekah pada musim haji, supaya Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah. Ini berlaku setelah termeterinya Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah 2, dimana penduduk-penduduk Madinah (yang telah menerima Islam) telah bersumpah setia untuk melindungi baginda dari segi keselamatan agama Islam itu sendiri. Ini menampakkan bahawa hijrah tersebut diiringi bersama iman dan jihad.
3.
Rasulullah S.A.W. memerlukan tapak baru yang lebih baik, kerana percubaan untuk mengembangkan Islam di Mekah dan Taif tidak mendapat sambutan yang menggalakkan, malah tekanan terhadap baginda semakin hebat. Sebab-sebab berlakunya penentangan dari Musyrikin Quraisy terhadap dakwah baginda antaranya adalah disebabkan faktor agama, sosial, politik dan ekonomi.
4.
Kemungkinan besar dakwah akan lebih mendapat sambutan di Madinah, kerana disamping kumpulan Aus dan Khazraj terdapat juga sokongan daripada Ahli Kitab (Yahudi) yang menceritakan kebangkitan Nabi akhir zaman itu mendiami Kota Madinah.

Hijrah; Korbankan Kepentingan Diri

Peristiwa hijrah merupakan ujian keimanan kepada para sahabat. Mereka yang yakin kepada Allah dan RasulNya serta kasih kepada Rasulullah lebih dari kasih kepada keluarga, harta benda dan sebagainya telah bertekad untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. seperti Suhaib ar-Rumi contohnya telah berhijrah meninggalkan kekayaannya di Mekah demi untuk bersama baginda.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya"
(al-Baqarah: 207)

Ali bin Abi Talib yang masih muda juga sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W. sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. kerana sekiranya Rasulullah S.A.W. berjaya mengumpul para penyokong di luar Kota Mekah hal tersebut akan memberikan tamparan hebat kepada kekuasaan mereka.

Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar as-Siddiq pula telah memainkan peranan menghapuskan kesan perjalanan ke Gua Thur dengan membawa kambing-kambingnya yang banyak.

Abdullah bin Abu Bakar pula telah bertindak sebagai pengintip yang memerhatikan gerak laku Musyrikin Quraisy serta melaporkan kepada Rasulullah S.A.W..

Asma' binti Abu Bakar yang mewakili kaum muslimat telah berperanan menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah S.A.W. dan ayahnya iaitu Abu Bakar As-Siddiq yang sedang bersembunyi di Gua Thur.

Malah Abu Bakar As-Siddiq seorang sahabat yang setia telah menemani Rasulullah S.A.W. hingga akhir hijrah. Firman Allah maksudnya:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari negeri Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya, "Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (Malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya, Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana"
(at-Taubah: 40)

Berlainan pula dengan Saidina Umar al-Khattab yang mengisytiharkan bahawa beliau akan berhijrah secara terang-terangan. Umar berucap kepada orang-orang Quraisy;

"Sesiapa yang mahu ibunya kehilangan anak, meyatimkan anaknya, atau menjandakan isterinya,, silalah berjumpaku di belakang lembah ini. "

Begitu pun ada juga yang menyesal kerana lewat berhijrah disebabkan berlakunya gangguan anak isteri serta keluarganya. Apabila mereka sampai ke Madinah rasa didapati bahawa para sahabat yang berhijrah terlebih awal daripadanya mendapat lebih banyak ilmu-ilmu agama kerana pada setiap hari mereka mendengar kuliah dari Baginda. Lalu mereka yang baru berhijrah menyesal di atas sikap anak isterinya kerana menyebabkan dirinya mendapat kerugian. Allah S.W.T berfirman maksudnya:

" Wahai orang-orangyang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak memarahi (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi)."
(at-Taghabun: 14)

Tetapi yang paling malang ialah mereka yang telah beriman tetapi enggan berhijrah kerana memikirkan kepentingan bahkan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik dan sanggup menyertai peperangan Badar untuk menentang saudara-saudara seIslam sehinggakan ada diantaranya yang terbunuh di sana, walhal mereka masih boleh berikhtiar untuk menyelamatkan diri. Allah S.W.T berfirman maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyaivanya oleh Malaikat semasa mereka sedang menganiayai diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:"Apakah yang telah kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: "Kami dahulu ialah orang-orang yang tertindas di bumi," Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?"Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu ialah seburuk-buruk tempat kembali."
(an-Nisa':97)

Perancangan serta aktiviti yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. selepas hijrah adalah:

1.
Membina masjid yang merupakan usaha pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan antara lainnya ialah untuk menegakkan syiar Islam.
2.
Mempersaudarakan golongan Muhajirin (para sahabat yang berhijrah dari Mekah) dengan golongan Ansar (penduduk Madinah yang terdiri dari puak Aus dan Khazraj), dengan meletakkan Islam sebagai ikatannya. Perpaduan yang diasaskan atas dasar iman ini telah menolak cara hubungan sebelum ini yang berdasarkan kepada keturunan, warna kulit, tanah air dan sebagainya. Oleh itu baginda bersabda:

"Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa paras kamu dan bentuk tubuh badan kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."
(Bukhari & Muslim)

Allah Juga berfirman, maksudnya:

"Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekafiran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
(ali-imran: 103)

3. Mengatur Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang merupakan perjanjian di antara pihak pemimpin dengan rakyat yang mengandungi 47 fasal. la boleh disimpulkan sebagai dasar negara seperti:

* Mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.
* Menjelaskan kedudukan orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam.
* Mengisytiharkan negara Madinah sebagai sebuah negara Islam.
*
Meletakkan hukum yang tertinggi iaitu hukum Allah (Al-Quran) dan Al-Hadith untuk dilaksanakan.
*
Menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai ketua negara dan kepimpinan negara seterusnya mestilah terdiri dari kalangan orang Islam.

Pengajaran Hijrah

1.
Berjaya menegakkan negara Islam di Madinah serta dapat melaksanakan hukum Allah S.W.T. dengan Rasulullah S.A.W. sebagai ketua negaranya.
2.
Dapat membentuk satu pasukan tentera yang mantap sebagai persediaan dalam menghadapi musuh dan menjaga keselamatan negara.
3.
Memperkembangkan dakwah menjadi semakin luas di mana pengaruh Islam tersebut bukan sahaja tersebar di Tanah Arab malah ke daerah-daerah di luar dari Semenanjung Tanah Arab.
4.
Ekonomi masyarakat Islam bertambah maju.

Kejayaan yang dicapai di sebalik peristiwa hijrah itu merupakan hasil perancangan serta perjuangan gigih Rasulullah S.A.W.berserta para sahabat yang diiringi dengan pertolongan Allah S.W.T.

Firman Allah maksudnya:

"Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa.”
(al-Haj:40)

Sebenarnya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah merupakan peristiwa yang paling penting kerana dengan hijrahlah Islam terus berkembang maju bukan sahaja di Semenanjung Tanah Arab malah tersebar luas ke seluruh dunia. Dengan peristiwa itulah maka para sahabat telah mencadangkan supaya kalendar Islam dikira dari permulaan hijrah