iDAN

01 Februari 2012

BELIA DAN 1MALAYSIA:

ANTARA CABARAN DAN HARAPAN

SHAHARUDDIN BADARUDDIN, AZMAN AYOB & MAZLAN CHE SOH

ABSTRAK

Perpaduan kaum merupakan salah satu daripada cabaran terbesar yang perlu ditangani dan diuruskan oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum. Cabaran ini ternyata amat getir apabila negara pernah mengalami peristiwa berdarah 13Mei 1969. Peristiwa ini memberi kesan yang amat ketara kepada negara dan ini dapat dilihat menerusi kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), gagasan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan di mana semua ini adalah merupakan satu manifestasi terhadap kesungguhan Kerajaan dalam menyuburkan perpaduan di antara kaum di negara ini. Kelihatan ia begitu signifikan apabila kita kaitkan perpaduan kaum dengan golongan belia. Golongan yang merangkumi hampir separuh daripada populasi Malaysia mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mencorak masa depan negara. Ini dilihat amat relevan apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia pada bulan April 2009 sebaik sahaja mengambilalih tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. 1Malaysia adalah merupakan kemuncak kepada keinginan dan hasrat beliau untuk melihat erti perpaduan dalam maksud yang sebenar dan asli. Kertas ini akan meninjau cabaran-cabaran yang dilihat merintangi usaha mencapai kejayaan konsep 1Malaysia dari perspektif belia. Selain itu juga, kertas ini akan merencanakan harapan golongan ini pada masa depan, dari sudut perpaduan kaum.

Kata Kunci: Belia, Perpaduan Kaum, Malaysia, Cabaran, Harapan

PENGENALAN

Belia adalah aset negara. Siapakah yang termasuk di dalam golongan belia? Mengikut Dasar Pembangunan Belia Negara, belia mengikut perspektif Malaysia ditakrifkan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun (Dasar Pembangunan Belia Negara, 1997). Kohot umur di Malaysia jauh melebar jika dibandingkan dengan tafsiran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mentafsirkan belia daripada mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization, 2006) dan Pertubuhan Komanwel yang mengkategorikan belia bagi mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun (Commonwealth Youth Program, Strategic Plan, 2003-2006).

Belia sebagai tiang negara. Tentu sekali kita sudah acapkali mendengar pernyataan penuh keramat ini. Kenyataan ini ternyata amat tepat sekiranya kita melihat kepada realiti sebenar yang membentuk demografi penduduk Malaysia. Pada tahun 2005, seramai 11 juta atau pun 42.5% daripada 26.13 juta penduduk terdiri daripada golongan belia. Statistik ini dilihat agak berbeza pada tahun 2008 apabila di dapati jumlah penduduk Malaysia dari kategori belia meliputi 11.26 juta atau 40.6% berbanding 27.7 juta keseluruhan penduduk Malaysia. Terkini, bagi tahun 2010, golongan belia terus meningkat kepada 11.65 juta dengan membentuk 40.2% daripada keseluruhan populasi Malaysia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010).,br>

Satu persoalan yang amat menarik untuk ditinjau adalah bagaimanakah belia ini perlu berhadapan dengan cabaran-cabaran yang sedang melanda negara. Perpaduan adalah merupakan salah satu daripada cabaran yang mana suka atau tidak perlu didepani oleh seluruh rakyat Malaysia, dan ini tidak terkecuali bagi golongan belia. Bagi maksud tersebut, kertas ini antara lain akan cuba untuk mengupas apakah cabaran dan rintangan yang akan dihadapi oleh golongan belia terutama dalam usaha kerajaan untuk memastikan keberhasilan dan kejayaan konsep 1Malaysia. Konsep 1Malaysia jelas mendokong dan selari dengan konsep yang diperjuangkan oleh negara menerusi prinsip Rukun Negara.

Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” (Jabatan Penerangan Malaysia, 2009).

Justeru amatlah jelas kepada kita bahawa konsep 1Malaysia sebagaimana penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak seperti di bawah membawa makna yang amat mendalam berkait dengan erti perpaduan iaitu:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.