iDAN

12 Oktober 2014

Orang besar-besar mendapat nama.

Semalam sepatutnya aku kembara paling tidak sekitar 150 km untuk menjemput anak. Duduk kolej juga asrama hanya dibenarkan balik kampung selang seminggu. Azim di SMTKL Anif pula di KMS Banting. Minggu hadapan pun tak pasti sebab dua minggu lagi kan Deepavali.
2. Aziq pula dah boleh berdikari sebab dah ada kenderaan sendiri buat dia. Mila kasi dia guna Avanza. Aku sebenarnya rindu akan Avanza tu telah sekitar 9 tahun bersama Avanza memang kenderaan yang santai mudah dipandu. Alat gantinya telah banyak aku tukar sendiri. Jangan tukar di pusat servis Toyota mahal amat. Buat di luar memang mampulah untuk disenggara.

3. Dari empat anak semua lelaki kini aku kembali tinggal berdua seperti tahun 80an dulu. Cuma bedanya dulu aku masih muda, amat banyak pergolakan tatkala tiada anak. Pahit amat nak dikenang. Tak mampu nak dilukiskan gambaran hati ketika itu. Kini kian berbeda kehidupan di usia ambang warga emas ada pula 1001 cabarannya.

4. Kelopak kasih kian berkembang buat anak-anak juga keujudan menantu juga cucu. Malam tadi keluar beli-belah dengan menantu & cucu. Cakera keras aku yang terjatuh tak boleh digunakan, surat gerentinya entah di mana menyelitnya. Afiz perlukan pindah data maka kena bantu dia beli yang baru.

5. Tak sangka malam tadi masa aku ke My Din Jalan Semenyih jumpa rakan lamaku yang sama-sama buat kerja trafik. Din Jab Sains UPM. Kagum ketabahan hidupnya. Dia punya cahaya mata seramai 11 orang. Isterinya hanya suri rumah. Ketika pulang dari My Din aku lihat dia masih rilex bersama isterinya naik kapcai untuk ke klinik juga membeli-belah.



6. Sebenarnya kami yang menjadi tulang belakang untuk mendapatkan bajet buat komuter, LRT, monoral, jalan bertingkat juga pelbagai kemudahan pengangkutan awam di KL itu. Aku, Din juga Ghafar adalah orang yang lama & kekal dari mula projek sampai projek kutip data itu siap. Yang lain staf teknikalnya hanyalah sekadar bidan terjun. Pasti Allahyarham Dato' Radin di alam kekal sana mengakui fakta ini. Tidak dapat menolaknya. Emmm orang besar-besar mendapat nama & orang kecil macam kami ni sekadar sokongan yang terpinggir. Aku paling naif sampai pencen tak dihiraukan sangat akan kebajikannya. Kenangan buat projek MEGA tu hanyalah; aku sekadar dapat upah & mampu membeli katil besi sahaja... kini gelegar katil besi tu dah pun senget nak patah. Bukan sebab aku tidur di atasnya tapi mungkin kenangan yang berat pun melambak barangan antik bertimbun di atasnya.

BR1M



 Rakyat kena ikat perut ...pemerintah besarkan perut... 
 
PESARA zaman sy ni hanya dapat elaun kecik... bajet 2015 ini jua kasi kami duit kecik RM250 banding hidup zaman sekarang memang agak kecik... hanya kadang-kadang kami ni dapat bonus RM500... yang pasti kena panjatkan kesyukuran... dari tiada baik ada... pandai-pandailah berjimat.
 
Nak dapatkan BR1M jangan harap sebab BR1M 3.0 lalu... jika anak dah kerja duduk serumah pun dikira pendapatan satu keluarga... secara jujur sukar nak jumpa satu keluarga hanya RM3000/RM4000 pendapatan sebulan... kecuali seorang pesara duduk sendirian membujang di kampung.